Membahaskan Ideologi Hamas dan Fatah
KALAU hendak dibuat perbandingan ideologi parti, maka boleh disamakan Hamas dengan PAS, Fatah dengan Umno dan Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dengan KeADILan. Hamas asalnya Ikhawanul Muslimin cawangan Palestin dengan pemahaman bahawa gerakan Islam itu, diasaskan di Mesir oleh Hassan Al-Banna ditubuhkan di seluruh negara-negara Arab, maka termasuklah di Palestin.
Iklan | |
Pada tahun 1948, entiti yang dikenali sebagai Palestin hilang daripada peta dunia apabila Israel diisytiharkan sementara wilayahnya di sekitar Sungai Jordan dijadikan Transjordan dan kemudian dikenali sebagai Jordan. Bagi Israel, Britain dan Amerika Syarikat, Jordan itulah yang menggantikan Palestin. Maknanya Palestin terbahagi kepada dunia, negara Yahudi dan Arab. Maka yang Yahudi menjadi Israel sementara yang Arab menjadi Jordan.
Jordan sebagai menggantikan Palestin jelas apabila kedua-dua tebing Sungai Jordan menjadi wilayahnya iaitu Tebing Timur dan Tebing Barat. Namun begitu ibu negara Jordan ditempatkan di Amman di Tebing Timur sementara Baitulmaqdis masih dimiliki Jordan terletak di Tebing Barat. Israel pula diberikan ibu negaranya di Tel Aviv. Sementara Gaza yang juga merupakan sebahagian daripada Palestin diberikan kepada Mesir.
Bagaimanapun, kedudukan begini tidak mendatangkan kepuasan kepada dua-dua pihak. Baik pihak Arab mahupun Yahudi. Bagi pihak Yahudi yang ideologinya sudah menjadi Zionis baru atau boleh dipanggil neo-Zionis, mereka mula mencita-citakan sebuah Israel Raya, atau Greater Israel yang meliputi bukan saja wilayah Israel yang mereka peroleh pada tahun 1948 tetapi merangkumi wilayah dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Iraq. Ataupun sekurang-kurangnya ia meliputi Semenanjung Sinai, Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan. Tetapi paling penting ialah Baitulmaqdis yang ingin dijadikan sebagai ibu negara Israel Raya.
Sebenarnya aspirasi Israel Raya ini bukan cita-cita asal Zionis. Boleh dikatakan ia menjadi cita-cita neo-Zionis yang dilandaskan oleh nasionalisme Yahudi dan fundamentalisme Judaisme. Perlu dibezakan antara Yahudi sebagai bangsa dan agama, yang digunakan istilah Judaisme. Pada asalnya penganut agama Judaisme dan juga bangsa Yahudi tidak mempunyai cita-cita nasional iaitu untuk mempunyai negara sendiri.
Tetapi fahaman Zionis memberi landasan kepada cita-cita bernegara sendiri. Pada asasnya Zionis hanya bersifat nasionalisme tetapi bukannya keagamaan. Malah ia lebih bersifat kepada sosialisme dengan gagasan kibbutz sebagai gerakan koperasi kebajikan. Maka Zionis yang meruakan gerakan sekular hanya menuntut sebuah negara Yahudi tidak kira di mana. Malah pada awalnya, cadangan supaya negara Israel diwujudkan di Uganda juga diterima. Kesatuan Soviet juga memberi suatu wilayah untuk Yahudi di dalam pentadbirannya. Justeru apabila Israel diwujudkan di bumi Palestin dengan ibu kotanya Tel Aviv, ia sudah merupakan sesuatu yang lebih daripada cukup.
Tetapi kemudian setelah memperolehi wilayah itu, mereka menjadi tamak dan menginginkan sebuah negara Israel raya yang besar. Ketamakan ini merebak yang pada mulanya sektor Yahudi dalam negara Palestin sudah dapat mereka terima. Komuniti Yahudi diwujudkan dalam negara Palestin bersama dengan komuniti Arab merupakan kedudukan yang terbaik sebenarnya. Tetapi apabila memperolehi negara sendiri pada tahun 1948, ia semakin galak untuk meluaskan kawasannya.
Tentu pihak Arab sedar perkara ini dan mereka tidak boleh mengiktiraf kewujduan negara Israel. Lebih-lebih lagi apabila tanah-tanah Arab yang berada dalam penguasaan Israel dirampas dan pemiliknya dihalau secara besar-besaran ke Tebing Barat Jordan dan Gaza di Mesir. Reaksi kewujudan Israel juga menggalakkan kesedaran nasionalisme kiri Arab yang dipelopori Presiden Gamal Nasser dan fahaman Baathisme yang dipegang Hafez Assad di Syria.
Maka rasa tidak puas hati ini membawa kepada negara-negara Arab berpakat untuk mengambil baik wilayah Palestin yang menjadi Israel. Peperangan tahun 1967 dilancarkan bagi membebaskaan Palestin. Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang bermusuh dengan nasionalis kiri pimpinan Nasser bagaimanapun turut berjihad untuk membebaskan Palestin.
Intifada dimulakan Hamas
Bagaimanapun, perang itu membawa kepada kekalahan di pihak Arab. Israel menawan bukan saja Gaza tetapi Semenanjung Sinai. Walaupun cita-citanya untuk sampai ke Sungai Nil tidak kesampaian tetapi Terusan Suez dapat ditawan. Selain itu seperti yang dicita-citakan Israel menawan Tebing Barat Jordan dan Baitulmaqdis. Begitu juga, mereka dapat menawan Bukit Golan daripada Syria. Maka ramailah rakyat Palestin yang lari ke Jordan dan Mesir.
Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin menerima tekanan teruk daripada Nasser. Banyak aktivisnya berpindah ke negara-negara Arab lain dan menubuhkan cawangan masing-masing. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Jordan, Syria, Iraq dan negara-negara Teluk. Ia menjadi gerakan Islam bagi dunia Arab. Bagaimanapun, pada ketika itu Ikhwanul Muslimin belum ditubuhkan di kalangan rakyat Palestin.
Fahaman Ikhwanul Muslimin juga tersebar di kalangan para pelajar negara Islam lain yang menuntut di Kaherah termasuk Malaysia dan Indonesia. Pengaruh terhadap pelajar Indonesia membuahkan Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi), parti pertama yang menang pilihan raya umum di negara itu. Di Malaysia, pengaruhnya yang bercampur baur dengan Masyumi memberi ilham kepada penubuhan Majlis Tertinggi Islam (MATA) sebagai cermin Masyumi di negara ini, kemudian berubah menjadi Hizbul Muslimin dan akhirnya ia muncul sebagai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Adalah suatu yang mudah untuk difahami bahawa gerakan Islam di mana-mana pun termasuk PAS memberi sokongan penuh kepada perjuangan Palestin yang di dalamnya usaha membebaskan Masjidil Aqsa. Tentunya Yahudi dilihat sebagai musuh Islam dan fahaman ini menjadi asas kepada mana-mana gerakan Islam.
Sebaliknya Umno pada asalnya tidak mempunyai pendirian seperti ini. Pada awal kemerdekaan negara juga, ada kesediaan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang sentiasa menyebelahi Amerika dan Britain untuk mengiktiraf Israel. Hanya selepas Perang 1967 apabila ternyata Israel menakluki wilayah negara jiran Arabnya, barulah Malaysia tegas menyokong Palestin.
Tetapi tindakan Tunku yang mengecewakan dalam hal pengiktirafan Israel ialah apabila dia secara bersendirian mengambil keputusan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. Di Singapura sememangnya terdapat komuniti Yahudi. Namun begitu, ia tidak menjadi masalah walaupun Ketua Menteri dipilih pertama Singapura, David Marshall berketurunan Yahudi. Itu juga tidak menjadi masalah. Masalah hanya timbul apabila Tunku mengeluarkan Singapura daripada Malaysia pada 1965.
Sebaik dikeluarkan, Singapura mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. Ia juga mendapat latihan tentera daripada Israel. Maka tidak semena-mena wujud pangkalan Yahudi di tengah-tengah samudera Melayu. Ketiga-tiga negara Asean ini mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel: Singapura, Thailand dan Filipina.
Ketika dalam buangan di Tebing Timur Jordan, pada akhir 60-an, anak-anak muda Palestin tentu tidak puas hati dengan keadaan mereka. Fahaman nasionalisme Palestin digagaskan oleh Yasser Arafat yang tegas mahu meneruskan entiti Palestin. Jordan bukannya Palestin. Bumi yang diduduki Israel itulah Palestin. Konsep kenegaraan Palestin inilah yang menjadi inti perjuangan Fatah. Kumpulan nasionalis ini mendapat sokongan Mesir, Syria dan Iraq. Tetapi ada golongan lain yang tidak puas hati dengan Fatah. Mereka percaya jalan revolusioner sosialis adalah terbaik.
Mereka menubuhkan PFLP. Kumpuan ini mendapat sokongan golongan kiri seluruh dunia termasuk negara-negara komunis. Jadi kalau hendak dibuat perbandingan, Fatah adalah seperti Umno dan PFLP adalah seperti Parti Rakyat. Kedua-duanya serta lain-lain gerakan bergabung dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Mereka kemudian melakukan serangan ke atas Tebing Barat daripada Tebing Timur Jordan. Tindakan ini menimbulkan kemarahan Israel yang memberi tekanan kepada Jordan. Akhirnya Amman menghalau mereka keluar dari Jordan. Mereka kemudian mendapat perlindungan di Beirut, Lubnan.
Dari Lubnan, mereka terus melakukan serangan. Ini menimbulkan kemarahan dan Israel menyerang Lubnan dan menekan Beirut supaya menghalau PLO daripada negara itu. Arafat dan PLO terpaksa pindah dan diberi tempat oleh Tunisia di Tunis. Setelah mereka pergi, tentera Israel membenarkan tentera Kristian Lubnan, Falangis melakukan pembunuhan ramai ke atas pelarian Palestin di Shabra dan Shatilla.
Perkara itu berlaku pada tahun 1980-an setelah Mesir diikat oleh Israel melalui perjanjian. Kedua-dua Jordan dan Mesir mengiktiraf Israel dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel mengundurkan diri daripada Sinai. Itu berlaku selepas Perang Ramadan pada tahun 1973 yang menyaksikan kejayaan Mesir membebasakan Sinai walaupun Syria gagal mengambil balik Golan.
Dengan berada jauh di Tunis, perjuangan Palestin oleh PLO lumpuh. Dalam keadaan ini, rakyat Palestin yang tertekan menubuhkan satu organisasi baru, yang lebih kuat dari segi ideologinya dengan meletakkan Islam sebagai landasan perjuangan. Bermula dengan penubuhan cawangan Ikhwanul Muslimin di Gaza, maka lahirlah Hamas. Pada mulanya Israel dan Amerika menggalakkan aktiviti Hamas yang bersih daripada rasuah dan menubuhkan hospital serta sekolah. Tetapi sokongan Israel dan Amerika bertujuan ia dapat melemahkan PLO.
Tentunya penduduk Palestin tidak puas hati dan mereka melancarkan intifada pada lewat 80-an. Penggerak intifada ini ialah Hamas. Pertubuhan ini tidak pernah menyertai PLO. Israel berasa terdesak dan memanggil kembali PLO dan timbul gagasan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza. PLO dipaksa mengiktiraf Israel. Sementara Israel memindahkan ibu negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis Barat. Jordan dan Mesir yang sudah terikat dengan Israel dan Amerika melepaskan Tebing Barat dan Gaza untuk ditubuhkan negara Palestin.