Hadis : Solat Musafir
Hadis :
Dari Anas bin Malik r.a katanya:"Biasanya nabi Muhammad s.a.w (dalam masa musafir) apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, baginda menangguhkan sembahyang zohor hingga waktu Asar, kemudian baginda turun (dari kenderaan) lalu baginda menjamakkan keduanya (Zohor dan Asar) (dengan jamak ta'khir); kalaupun baginda berangkat sebelum gelincir matahari, baginda sembahyang Zohor kemudian baginda berangkat (meneruskan perjalanannya). " (Bukhari & Muslim )
Huraian :
1. 'Jamak' maksudnya ialah "menghimpunkan. 'Takdim' pula maksudnya mendahulukan. Manakala Ta'khir' memberi maksud menangguhkan.
2. Sembahyang fardhu yang dibenarkan untuk dijamakkan adalah :
i. Zohor dengan Asar
ii. Maghrib dengan Isya'
3. Jamak Takdim ialah mengerjakan sembahyang Zohor dan sembahyang Asar pada waktu Zohor. Caranya ialah dengan dikerjakan sembahyang Zohor dua rakaat dan setelah memberi salam diiringi pula dengan sembahyang Asar dua rakaat juga.
4. Jamak Takdim bagi sembahyang Maghrib dan Isya' pula adalah dengan dikerjakan sembahyang Isya' pada waktu Maghrib. Caranya ialah sembahyang Maghrib tiga rakaat (seperti biasa kerana ia tidak boleh diqasarkan) dan setelah memberi salam diiringi dengan sembahyang Isya' dua rakaat.
5. Jamak Ta'khir pula ialah dengan mengerjakan sembahyang Zohor dan Asar pada waktu Asar dan sembahyang Maghrib dan Isya' pada waktu Isya'. Cara mengerjakannya ialah dengan dilakukan sembahyang Zohor kemudian diiringi dengan Asar demikian juga dengan sembahyang Maghrib dan Isya'.