Ayat-ayat Peringatan Buat Manusia
Baru-baru ini dunia dikejutkan lagi dengan tragedi gempa bumi, kali ini di Haiti, sebuah negara kepulauan yang miskin dalam gugusan kepulauan berhampiran benua Amerika. Kemusnahan dianggarkan amat dahsyat, kemalangan jiwa juga dijangkakan akan mencecah 4 dan tidak mustahil 5 angka.
Siri-siri peringatan dari Allah ini semakin lama semakin kerap, apabila manusia telah terlalu jauh dari jalan yang lurus dan melampaui batas di atas muka bumi, maka Allah berbicara kepada manusia melalui siri-siri gempa yang mengingatkan hati yang lalai. Adapun bagi hati yang tidak pernah kisah akan apa yang berlaku, peringatan-peringatan yang datang akan berlalu bagaikan angin bertiup, kehidupan diteruskan ibarat tiada apa yang berlaku, hidup diteruskan, biarlah peringatan itu dan biarlah sengsara orang lain yang tidak ada kena mengena dengan diri.
Allah berbicara dengan manusia dalam 3 cara. Kaedah yang pertama adalah dengan Al-Quran. Dalam kitab yang agung ini, manusia dijelaskan akan asal-usul kehidupan, hakikat penciptaan dan kehidupan selepas kematian serta panduan kehidupan diatas muka bumi. Kehidupan berlandaskan Al-Quran ini diterjemahkan oleh rasulnya yang mulia, Muhammad S.A.W. Namun ramai manusia mengabaikan kalam agung ini, hatta kaum muslimin sendiri. Yang membacanya pun ramai yang seperti burung kakaktua yang mengungkapkan kalam indah yang tidak difahaminya.
Kaedah yang kedua adalah dengan bahasa keunikan dan keindahan ciptaannya. Keseimbangan ekosistem alam, keharmonian peredaran bumi dan planet-planet di atas orbit tanpa tersasar walaupun 1 cm. Bahkan di dalam diri manusia sendiri terserlah kehebatan dan keunikan ciptaan Allah, jantung yang terus menerus taat berdegup, buah pinggang yang setia menjadi penapis segala sisa-sisa yang tidak diperlukan, keharmonian segala organ tubuh badan manusia adalah antara tanda kebesaran yang sering diabaikan. Namun manusia sering mengabaikan bicara bahasa ciptaan ini. Lebih malang ada yang mendakwa bahawa segala-galanya terjadi sendiri. Sungguh tidak masuk akal!
Kaedah yang ketiga adalah melalui siri-siri peringatan yang didatangkan dalam bentuk yang pelbagai, mungkin dalam bentuk musibah yang melanda diri dan yang paling menggerunkan adalah mungkin apabila datang dalam bentuk bencana alam yang memusnahkan. Tatkala datang bala seperti ini, ia menjadi pengajaran untuk hati-hati yang ingin kembali kepadanya agar kembali ingat dan melaksanakan tugas khalifah untuk memakmurkan bumi ini.
Hari ini di Haiti berlaku gempa bumi yang paling dasyat sejak 200 tahun, esok lusa pula siapa tahu dimana? Belum sampaikah masa untuk kita tunduk dan patuh kepada perintahnya? Peringatan bagaimana lagi yang ingin kita tunggu?