Tips Nak Jadi Imam Muda?
Audition Imam Muda musim kedua semakin hampir. Kebetulan saya terpaksa menghadiri banyak program luar. Jadi saya tidak berkesempatan untuk mengikuti Audition yang berjalan ke seluruh negara. Namun, insyaAllah saya akan menjadi sebahagian dari pemerhati untuk Audition di Kuala Lumpur.
Apakah tips untuk sesi temuduga :
1 ) Peringkat Pertama
-Anda, dikehendaki membaca Surah al-Fatihah secara berlagu. Seperti anda menjadi seorang imam solat. Tajwid suara, fasohah itu perkara yang dilihat.
-Namun kelebihan akan diberikan kepada yang mempunyai kehalusan dan kesenian dalam pembacaan.
-Antara tips untuk memilih lagu. Kebanyakkan juri lebih suka anda membaca tanpa meniru mana-mana Syeikh atau Qari atau imam-imam yang sudah masyhur. Anda akan dinilai baik, sekiranya anda mempunyai gaya bacaan tersendiri. Serta kemampuan anda untuk mempelbagaikan gaya suara dan lagu.
- Sekiranya juri tidak berpuas hati untuk menilai suara anda, maka mereka akan cuba menyuruh anda membaca surah yang lain.
- Boleh jadi mereka akan menyuruh anda bernasyid, marhaban ataupun bertarannum. Sila bersedia dengan lagu nasyid tersendiri.
2 ) Peringkat Kedua
- Anda akan diadili oleh 2 orang panel. Antaranya yang melihat gaya anda bercakap serta keterampilan anda. Ada juga hakim yang akan menilai daya keintelektualan anda dari segi pengetahuan am dsb. Ada juga hakim yang akan mengadili cara anda berhujjah dan juga menyampaikan syarahan.
- Sila bersedia untuk berucap menggunakan bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan bonus kepada siapa yang boleh berbahasa lain dari yang disebutkan tadi.
- Sila bersedia mengetahui nama-nama negara dan ibukota seluruh dunia, matawang, nama pemimpin-pemimpin negara, serta isu-isu terkini.
- Anda juga perlu kreatif untuk menyelesaikan masalah yang akan diutarakan kepada anda. Gunakan pendekatan luar biasa dalam menyelesaikan masalah tersebut.
- Pastikan anda bijak bermain-main dengan kamera.
3 ) Peringkat Ketiga
- Jawab soalan yang akan diberikan kepada anda melalui borang yang tertera. Boleh jadi ianya setebal yang mungkin.
- Jawab dengan menyatakan siapa diri anda sebenar. Bukan anda menyatakan diri orang lain, ataupun malaikat untuk dinisbahkan kepada diri anda.
- Jadilah diri anda, bukan diri saya, bukan juga hizbur, nuri ataupun Aran.
Cukup sahaja setakat ini tips ringkas dari saya jika anda berminat untuk menjadi Imam Muda. Ini adalah tips menghadapi penemuduga. Namun untuk menjadi Imam Muda anda perlulah bersedia luar dan dalam. Antaranya :
- Ikhlas, bersedia untuk tidak kaya, bersedia menerima kutukan (atau kata minami dlm DOREMI, ‘tahan maki ), bersedia untuk tidak tidur malam, bersedia untuk tidak makan seharian, bersedia untuk tidur di dalam kereta, bersedia untuk senyum setiap masa, bersedia untuk jarang bersama keluarga dan banyak lagi persediaan yang tak mampur terhurai…senang cerita, hilangkan negatif, fikir positif. Anda sebenarnya MAMPU!!
- Banyakkanlah makan vitamin, jogging lebih kerap, tidur lebih cukup dan makan lebih kenyang. Kerana kemungkinan jika anda layak bergelar Imam Muda, anda tidak akan bertemu dengan saat indah seperti ini.
Senang cerita…anda masuk Imam Muda bukan untuk diri anda, namun untuk orang lain. Bukannya apa yang akanku dapat dengan Imam Muda, namun apakah yang akanku mampu beri dengan gelaran Imam Muda..Ingat, ini bukan pilihan juri semata, namun ianya melibatkan pilihan Allah SWT.
“Anda beruntung kerana anda tahu apakah itu Imam Muda dan apakah tips audition Imam Muda, berbanding kami dahulu yang redah serbu tak pakai helmet!!!…Wasalam..
Sumber:http://www.imamudasyraf.com/v1/?p=228