Buruh Kanak-kanak Di Afghanistan
|
|
AFGHAN Abdul Wahab, 11, menghayunkan sebuah penukul besar yang berat ke atas kepingan besi panas untuk membentuk bahagian badan lori dengan badan yang berpeluh serta muka dipenuhi kesan lecur akibat bahang api yang panas.
Wahab adalah di antara 1.2 juta kanak-kanak Afghanistan yang bekerja separuh atau sepenuh masa. Menurut kerajaan Afghanistan iaitu negara di mana peperangan, kemiskinan dan pengangguran berleluasa, manakala individu yang cenderung memilih untuk berkeluarga besar akan mengakibatkan kebanjiran buruh kanak-kanak dalam pasaran.
Kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi dan Kemanusiaan Afghanistan pada tahun 2010 mendapati negara itu mempunyai 15 juta kanak-kanak.
Lebih dari 40 peratus di kalangan mereka terlibat dalam pekerjaan yang dibayar gaji. Walaupun ada undang-undang buruh kanak-kanak di negara tersebut, tetapi ia tidak dipedulikan.
Walaupun secara sahnya di sisi undang-undang kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke atas dibenarkan bekerja sehingga 35 jam seminggu, tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan kerja berat seperti Wahab yang bekerja di kedai besi ayahnya di Kabul.
"Saya mahu pergi ke sekolah, tapi ayah saya keseorangan di sini dan saya perlu tolong dia," kata Wahab yang kelihatan lebih tegap berbanding usianya kerana terlibat dengan kerja-kerja pertukangan besi.
"Ayah saya tidak mampu memberi kami makan jika bekerja berseorangan kerana makanan di sini terlalu mahal. Kami tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak kerajaan.
Ayahnya, Abdul Rosaq berkata, dia membawa isteri dan empat anaknya ke Kabul dua tahun lalu dari bahagian Barat Herat.
"Kami perlu bekerja. Saya tidak suka anak lelaki saya bekerja di sini. Saya mahu dia ke sekolah, tapi kami terpaksa bekerja," jelas Abdul Rosaq yang memperoleh kira-kira 1,500 Afghanis ($33) seminggu.
Selepas 30 tahun konflik, Afghanistan adalah salah sebuah negara yang paling miskin di dunia, di mana kanak-kanak adalah separuh daripada jumlah penduduknya. Suku daripada kanak-kanak tersebut meninggal dunia sebelum berumur lima tahun dan purata umur rakyat Afghanistan adalah sekitar 44 tahun.
Sebahagian kanak-kanak bekerja sebagai mekanik, dalam bidang pertanian, pembuatan tenunan permaidani, menjual barangan di tepi jalan, mengemis dengan cara membersihkan kereta yang berdebu ketika kesesakan teruk di jalanan di sekitar kawasan Kabul ataupun mengutip tin-tin dan botol-botol dari tempat pembuangan sampah di bandar.
Menurut laporan bank pusat negara itu, purata pendapatan tahunan bagi rakyat Afghanistan adalah $370 setahun.
Sebab itu kebanyakan keluarga terpaksa membuat pilihan yang sukar untuk anak-anak mereka iaitu sama ada ke sekolah atau bekerja.
"Majoriti mereka mula bekerja pada umur sembilan tahun dan kami ada kanak-kanak di bawah umur sembilan tahun yang menjual barangan di tepi jalanan," kata Pegawai Hak Asasi dan Kemanusiaan, Nader Nadery.
Katanya, sebahagian besar kanak-kanak itu bertanggungjawab untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.
Dia berkata, kanak-kanak yang bekerja bukanlah sesuatu yang mengejutkan di Afghanistan, tetapi ia adalah masalah sosial dan kerajaan tidak mempunyai perancangan dan sumber yang cukup untuk menyelesaikannya.
Pegawai tersebut berkata, sekurang-kurangnya 1.5 juta kanak-kanak di negara tersebut bekerja untuk menyara keluarga.
"Jika ia tidak diselesaikan, jika kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pelajaran, kita bukan hanya menambahkan lagi konflik bahkan kita juga melemahkan lagi sebarang kemungkinan untuk negara ini berkembang dan membangun pada masa hadapan," ujar Nadery.
Memakai baju merah yang kotor dan seluar hijau, Bebe Gul, 10, menyandang sebuah beg galas putih untuk mengumpul bahan buangan.
Bapanya terbunuh semasa kemalangan di tempat kerja dan dia perlu mencari wang untuk menyara ibu dan empat adik-beradiknya selain terpaksa juga ke sekolah.
"Saya buat ini semua untuk memperoleh wang. Saya jual barangan yang dikutip kerana bapa saya telah tiada," kata Gul sambil mengelap hidungnya menggunakan skaf yang berwarna hitam.
Afghanistan telah menandatangani piagam PBB mengenai hak kanak-kanak pada 1994. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah dipanggil untuk menubuhkan satu akta yang berkesan untuk melindungi kanak-kanak.
Timbalan Menteri Perhubungan Sosial Afghanistan, Wasil Noor Muhmand berkata, kerajaan mempunyai Jaringan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak, inisiatif bersama kumpulan-kumpulan pembantu yang telah beroperasi di 28 atau 34 daerah. Ia bertujuan membantu satu per tiga daripada 6.5 juta kanak-kanak yang bermasalah.
Muhmand berkata, setelah berdekad peperangan di Afghanistan menyebabkan kanak-kanak yang kehilangan bapa terpaksa bertanggungjawab menyara keluarga.
Hasilnya negara terpaksa membiarkan para remaja turut bekerja tetapi bukanlah melakukan kerja-kerja berat.
Muhmand berkata, pada masa hadapan mereka mahukan kanak-kanak pergi ke sekolah, bukannya bekerja. - Reuters
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm