Tanda-tanda Berbohong,Kesan dan Ubat Menangani Pembohongan
Mungkin kedua-dua makhluk di atas ini saling percaya antara satu dengan lain kerana tahu kedua-duanya adalah sama-sama baik?
Atau kedua-dua mereka memang banyak muslihat dan kedua-dua pihak pula tahu bahawa kedua-dua pihak saling memasang muslihat masing-masing?
BERAPA KERAP ANDA PERASAN BAHAWA TIBA-TIBA TEMAN BERCAKAP ATAU PASANGAN MEMBOHONGI ANDA? ADA SAHAJA ALASAN YANG DIBERI SEHINGGA ANDA MERASAKAN ADA SESUATU YANG DISELINDUNGKAN.
ITU JIKA ANDA MENGESANNYA DENGAN LEBIH AWAL DAN ANDA TAHU DIA MEMANG SEDANG BERBOHONG. TETAPI BAGAIMANA PULA JIKA SI DIA SEDIKIT PUN TIDAK MENUNJUKKAN BAHAWA DIA SEDANG BERBOHONG DAN ANDA TERUS-TERUSAN MEMPERCAYAINYA.
Jangan risau, tip dibawah akan membantu anda mengenal pasti sama ada pasangan bercakap anda berbohong atau tidak.
Menyentuh hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.
Menutup mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.
Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong. Jadi, jika anda bertanya pada teman lelaki/suami anda dan sidia gagap untuk menjawabnya, maka anda tahu membuat kesimpulan atas tindakannya itu.
Pergerakan mata
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu,sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong.
Sebaliknya, ada juga keadaan di mana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.
Selain itu apabila seseorang itu selalu melihat kesebelah kanan pula padahal tidak ada apa-apa yang hendak di lihatnya, maka ia sebenarnya cuba mereka-reka cerita. Kerana otak kanan adalah otak kreatif. Apabila seseorang itu gagal menjawab pertanyaan dengan cepat dan matanya pula melihat sering kekanan, maka berawaslah, kerana mungkin ia akan mereka-reka cerita.
Melengah-lengahkan jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.
Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong.
Banyakkan Pertanyaan
~ 6 ~
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ
O ye who believe! If a wicked person comes to you with any news, ascertain the truth, lest ye harm people unwittingly, and afterwards become full of repentance for what ye have done.
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka hendaklah kamu selidiki (cerita itu bukan orang itu, kerana orang itu sudah tentu fasik)
(Kerana mungkin) kamu akan menghukum suatu kaum dengan kejahilan, maka kamu akan menyesal dengan apa yang kamu lakukan.
Oleh itu setiap cerita yang dibawa tidak boleh kita buang begitu sahaja tanpa kita selidiki dan tidak boleh kita terima sahaja bulat-bulat tanpa kita tapis dan kaji terlebih dulu.
Kerana itu Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
Jika kamu mendengar khabar daripada Bani Israel suatu cerita, maka jangan terus kamu terima dan jangan terus kamu tolak. Kerana boleh jadi apa yang dinyatakan oleh mereka itu benar dan boleh jadi palsu. Au kama Qal saw.
Selain itu kita juga tidak boleh menerima bulat-bulat kata-kata itu tanpa kita selidiki dengan bersungguh-sungguh, kerana boleh jadi cerita yang dinyatakan itu telah dirancang bersungguh-sungguh sehingga pergerakan yang dibuat oleh sipenyampai cerita tidak menunjukkan sebagaimana yang disebutkan di atas.
Ada kalanya penyampai berita itu menangis-nangis meminta simpati. Ada kalanya marah-marah untuk menunjukkan bahawa kenyataannya benar. Namun mungkin berita yang mereka bawakan adalah pembohong yang telah dirancang secara halus.
Begitu juga dengan cerita-cerita yang kadang-kadang nampak tidak logik dan tidak masuk akal. Namun berita-berita itulah yang benar. Oleh itu amat rugilah kita jika sekiranya kita menerima bulat-bulat atau menolak mentah-mentah suatu berita itu tanpa kita selidiki terlebih dulu.
Maka oleh itu untuk mensahihkan suatu berita, maka kita hendaklah membanyakkan pertanyaan kepada sipembawa cerita bahkan juga bertanya kepada pihak-pihak lain yang dipercayai.
Banyakkanlah pertanyaan demi pertanyaan sehingga kepada perkara-perkara yang mungkin tidak terfikir oleh sipembawa cerita itu. Dengan membanyakkan pertanyaan, maka sipembawa cerita itu akan terpaksa menambah cerita-cerita bohongnya tanpa perancangan. Maka di sanalah kita nanti akan dapat melihat reaksi-reaksi sampingan yang ditulis di atas. Dan di sanalah juga kita akan mendapati pembohongan demi pembohongan kawan kita itu.
Misalnya jika kita tanya kawan kita sudah makan atau tidak. Katanya sudah. Boleh jadi ia bohong sunat, Namun boleh jadi ia belum makan. Untuk memastikannya, kita boleh menyambung pertanyaan kita dengan bertanya lebih sedikit secara selamba dengan bertanya kepadanya dia makan apa, bersama siapa dan lain-lain.
Jangan Terlalu Cepat Membuat Anggapan
Kalau sekiranya ia berat untuk menjawabnya, jangan pula terus dicap bahawa ia berbohong. Ini adalah suatu anggapan yang tidak adil. Boleh jadi ia malu untuk mengatakannya, boleh jadi ia tidak suka membicarakan perkara tersebut. Boleh jadi ia ada masalah pada hari itu.
Bohong Sunat
Kita terlalu biasa mendengar perkataan bohong sunat. Bahkan kita juga kadang-kadang mungkin terpaksa melakukannya pada sesuatu ketika.
Benarkah ada bohong sunat dalam Islam?
Sila baca ayat di bawah ini:
Surah al-Baqarah ayat 182:
فمن خاف من موص جنفا أو إثما فأصلح بينهم فلا إثم عليه إن الله غفور الرحيم
Maka barangsiapa (penjaga wasiat) yang takut pada orang-orang (meninggal dunia) yang membuat wasiat itu berat sebelah ( Tidak adil dalam wasiatnya) atau berdosa ( ia mewasiatkan perkara haram) lalu ia memperbaiki di antara mereka, maka tiadalah dosa keatasnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Pada pendapat anda mengapakah Allah swt akan memberikan kemaafan pula pada perkara-perkara yang baik yang telah dibuat pada hamba-hambanya yang saleh. Bukankah ayat di atas membawa maksud untuk mendamaikan sesuatu pertelingkahan yang besar itu kita perlu membuat sesuatu pendekatan diplomasi.
Namun begitu ayat ini tidak boleh selalu diamalkan. Bahkan mungkin tidak boleh lebih dari 2 kali. Allahu ‘A’lam.
Kerana segala perkataan kita akan ditapis dan diperincikan oleh masyarakat yang mendengar kata-kata kita. Kalau kita sudah selalu berbohong, (tiga kali atau lebih) walaupun bohong sunat maka kata-kata kita itu akan memberikan kesan kepada semua percakapan kita.
Bahkan kita bagai digam atau ditarik untuk mengatakan pembohong itu masa demi masa. Oleh itu hindarkanlah berbohong walaupun bohong sunat. Kalau kita boleh bercakap betul dalam menyelesaikan suatu masalah bukankah lebih baik.
Bahaya Bohong Sunat
Suatu bohong sunat akan menjadi baik jika kita dapat menjalankannya sampai bila-bila tanpa diketahui oleh orang lain. Namun bagaimana jika sekiranya pembohongan kata-kata itu diketahui juga akhirnya oleh orang lain?
Misalnya dalam wasiat, kita telah menukar wasiat sipolan kerana kita lihat wasiat itu berdosa, lalu kitapun mengubahnya kerana takut sama berdosa. Namun tuan mungkin tidak tahu bahawa wasiat itu telah didengar oleh orang lain sebelum tuan. Atau ada pihak lain yang tahu bahawa tuan telah mengubah wasiat itu lalu ia membocorkan rahsia tuan. Mungkin saja orang itu mengetahui rahsia tuan itu melalui kuasa ajaib yang diberikan oleh Allah swt kepadanya, bahkan juga ia datang dari Syaitan yang juga tidak pernah berenggang dari samping tuan selama ini.
Lalu apakah yang tuan hendak lakukan jika rahsia tuan itu dibongkarkan? Tentu sukar bukan? Oleh itu berbohong sunat sebenarnya amat berbahaya dan amat sukar sekali berjaya untuk bertahan sampai bila-bila.
Oleh itu:
Bercakap benarlah kita walaupun pahit ( hadis )
Kerana setiap sesuatu ada jalannya. Setiap sesuatu itu ada hikmah disebaliknya.
Bergurau
Kita juga sering bergurau dengan gurauan yang dusta. Di Negara Brunei orang yang berbohong dipanggil kelakar. Berkelakar bermakna berdusta. Di Malaysia kata kelakar dinisbahkan kepada gurauan. Orang yang bergurau dikatakan kelakar.
Mungkin kaitan antara dua pemakaian perkataan kata kelakar itu ada di sini. Iaitu orang yang suka bergurau dengan gurauan yang dusta.
Apa-apa pun bergurau dengan gurauan yang dusta adalah tidak digalakkan oleh Islam, apatah lagi jikalau kita bergurau sehingga kita tidak menyatakan hal yang sebenarnya kepada orang yang kita guraukan itu selama-lamanya.
Gurauan yang dusta boleh menyebabkan kekurangan kepercayaan masyarakat terhadap kita. Kita kadang-kadang terpaksa bertegang urat untuk meyakinkan orang lain bahawa kata-kata kita bukan gurauan dan bukan kata-kata yang dusta. Namun oleh kerana kita selalu bergurau maka masyarakat sukar juga mempercayai kita.
Ingatlah cerita budak pengembala kambing yang bergurau tentang kehadiran serigala. Bila serigala yang sebenar keluar, orang kampong tidak lagi mempercayainya.
Pembohongan di Pejabat
Kita mungkin selalu melihat kawan-kawan pejabat kita yang datang lewat tetapi menulis jam ketibaannya lebih awal. Kalau pejabat itu memakai punch kad, maka ada yang meminta kawannya mempunchkan kadnya. Kalau pejabat itu memakai kad eletronik, maka kita lihat kawan kita itu ada yang datang pejabat awal tetapi selepas merekodkan kedatangannya, mereka kemudian keluar kemana-mana.
Kemudian ada pula yang balik awal tetapi merekodkan masa baliknya lebih akhir. Ada yang meminta kawannya mempunch kadnya, sedangkan ia telah keluar lebih awal bahkan ada pula yang meminta kawanya merekodkan kad eletroniknya di pintu pejabat.
Bagi yang jujur sedikit pula, mereka tidak merekodkan apa-apa, tetapi meninggalkan rekod kosong sahaja tanpa bertulis apa-apa. Mungkin mereka takut berbohong dan dengan tidak membuat apa-apa rekod keluar pejabat ini mereka akan terlepas dari menyatakan perkataan bohong tersebut. Dan dengan mengosongkan rekod ini juga mereka berharap agar pihak-pihak atasan akan beranggapan bahawa mereka terlupa menulis rekod tersebut.
Namun adakah boleh dikira lupa jika perbuatan itu dibuat hampir setiap hari?
Kenapa mesti ditinggalkan dan tidak direkodkan? Bukankah meninggalkan rekod itu kosong juga bererti suatu cubaan untuk mengelirukan atasan?
Menipu di pejabat ini mungkin kita lihat amat ringan. Namun jika kita biarkan tanpa kawalan, ia boleh membawa masalah sosial.
Bagaimanakah kita akan mempercayai seseorang pegawai untuk mentadbir jika ia selalu mengosongkan rekodnya? Bagaimanakah nanti ia akan dapat mentadbir, jika ia juga merupakan seorang yang tidak dapat mentadbir dirinya sendiri dengan baik?
Bagaimanakah nanti kelakuan anak buahnya jika mereka melihat ketua mereka selalu menipu, selalu keluar awal tanpa membuat cacatan dan sebagainya?
Bahkan adakah ketua mereka itu nanti dapat diamanahkan memegang bajet kerajaan?
Kenapa Keluar Pejabat lebih Awal?
Perbuatan keluar pejabat lebih awal daripada waktu pejabat adalah suatu kesalahan, namun ianya dapat dimaafkan jika tidak selalu di buat atau jika dibuat selalu pun, ianya adalah kerana hal-hal yang mustahak, iaitu seperti mengambil anak sekolah yang memang sesetengahnya balik pada jam 3.30 petang.
Jika dibiarkan anak di sekolah begitu sahaja sehingga jam 4.30. kita takut akan terjadi perkara yang bukan-bukan pada anak kita. Lebih-lebih lagi jika kita keluar tepat jam 4.30. Maka tentulah kita hanya akan dapat mengambil anak pada kita pada kira-kira jam 5.00 petang. Kerana jalan ketika itu sudah jem.
Namun kalau kita mengambil anak kita lebih awal, maka selepas mengambil anak sekolah, sebaiknya kita bergegas kepejabat semula. Ataupun kalau sukar rasanya untuk pulang semula kepejabat, barangkali kita boleh keluar lebih awal pada pukul 4.00 petang. Sekurang-kurangnya anak tidak terlalu lama menunggu di sekolah. Dan keselamatannya akan terjamin sedikit. Tetapi kalau keluar awalpun, sebaiknya hendaklah ditulis atau direkod.
Namun bagaimana dengan 30 minit yang telah kita ambil dari waktu pejabat itu? Atau barangkali 1 hingga 2 jam yang kita gunakan untuk kegunaan peribadi semasa waktu pejabat setiap minggu?
Pada pendapat saya, cukuplah kalau kita gunakan waktu pejabat itu yang kita telah lalui untuk diri sendiri itu jika kita membayarnya di waktu-waktu lain.
Iaitu kalau kita ada masa dan tidak sibuk maka bolehlah kita membayar waktu yang telah kita gunakan itu dengan melebihkan masa pada waktu-waktu yang tidak sibuk itu.
Namun kalau kita tidak dapat membayarnya juga, maka bertawakkallah kepada Allah swt, gunakanlah apa sahaja kesempatan untuk berbuat baik dan kebajikan. Bahkan kalau kita dapat pergi ke masjid untuk solat berjemaah di antara waktu Maghrib dan Isya serta Subuh, pada pendapat penulis pun sudah dapat dikira sedikit membayar hutang-hutang kita yang kita gunakan untuk kepentingan peribadi itu. Namun dengan syarat ketat, iaitu kita tidak dapat membayar lebih banyak dan hanya mampu membayar hutang kita sampai disitu sahaja.
Kerana bukankah dengan berjemaah di masjid, ianya akan dapat membantu kerajaan untuk membasmi dan menolong menyelesaikan berbagai-bagai masalah.
Pembohongan dalam solat
Adakah solat kita akan diterima jika kita berbohong dalam solat? Sudah tentu tidak. Malah sebaliknya kita juga akan berdosa kerananya.
Menurut sesetengah ulama, pembohongan dalam solat ada bermacam-macam iaitu:
- Tidak menghayati bacaan solat. Lain yang dibaca, lain pula difikirkan. Kalau kita bercakap dengan seseorang dan pada masa itu kita berfikir mengenai hal lain, maka adakah percakapan kita itu dapat dipercayai?
Oleh itu kita hendaklah berusaha 100% untuk menghayati bacaan-bacaan solat kita dan memahaminya agar jangan dicap oleh Allah swt berbohong dalam solat.
- Sebahagian bacaan solat adalah merupakan perjanjian seperti di dalam doa al-Iftitah, kita berjanji dan berikrar kepada Allah bahawa solat, ibadat, hidup dan mati kita hanyalah untuk Allah. Namun adakah kita telah mengotakan janji dan ikrar kita itu?
Oleh itu kita juga hendaklah berusaha sedaya upaya yang boleh kita laksanakan untuk melaksanakan janji dan ikrar kita di dalam solat itu, maka barulah kita tidak dikatakan berbohong dalam solat.
Untuk itu juga kita hendaklah sentiasa berfikir dan menimbang, perkara apakah yang lebih penting, solat ataupun urusan dunia. Jika kita menganggap urusan dunia lebih utama didulukan, maka adakah ikrar kita di hadapan Allah swt itu betul?
- Sebahagian bacaan Solat juga merupakan doa, namun jika kita tidak tahu apa yang kita doakan itu, maka adakah doa kita itu akan makbul dan diterima oleh Allah swt?
Kalau kita membaca surah al-Fatihah dengan rasa takut kerana ditolak bahkan diberikan pula perkara yang sebaliknya seperti bencana dunia dan akhirat wa iya dzu billah min dzalik dan dengan rasa berharap agar doa kita dalam surah al-Fatihah itu diterima, maka kita inysa Allah akan mengeluarkan air mata, walaupun dengan hanya bacaan surah al-Fatihah.
Namun kalau hati kita memikirkan perkara yang lain, apakah pula yang Allah swt katakan kepada kita?
Bagaimana Rasulullah saw menilai Sahabat
Selain dari kasyaf iaitu mengetahui perkara-perkara dan rahsia batin, Rasulullah saw juga memerintahkan agar para sahabat baginda untuk sentiasa solat berjemaah di masjid. Sesiapa yang tidak solat pula hendaklah ada alasan yang kuat, seperti sakit, musafir, terlalu jauh masjid dari rumah sehingga luput waktu berjemaah jika hendak ke masjid dan sebagainya.
Namun pada siapa yang tidak mempunyai alasan yang kuat, maka orang-orang yang tidak solat berjemaah ke masjid akan dikira pembohong besar, penipu besar dan bahkan mereka dikira Munafik yang jelas. Sila rujuk atsar Abdullah bin Mas’ud r.a. dalam perkara ini.
Oleh itu, jika tuan-tuan mahu mendapatkan anak buah yang setia seperti sahabat nabi saw, mengapa tuan tidak mewajibkan mereka solat fardhu berjemaah bersama tuan di masjid? Adakah tuan mahu masuk syurga sendiri sahaja? Atau adakah tuan juga takut tidak dapat solat penuh ke masjid? Kalau begitu tidak hairanlah jika organisasi yang tuan pimpin itu kucar kacir.
Tuan! Sedikit masa lagi mungkin Nusantara akan dipilih menjadi pemimpin masyarakat dunia Islam. Pilihan ini mungkin diberikan dan ditekankan oleh masyarakat barat yang selama ini telah mengkucar-kacirkan pimpinan masyarakat timur tengah.
Jika masyarakat Nusantara tidak boleh dipegang janji dan kata-katanya, maka bagaimanakah mereka akan dapat memimpin umat Islam ini nanti?
Akhbar Yang Bohong
Kita selalu melihat pembaca berita di TV. Kadang-kadang cerita yang mereka nyatakan tidak betul kerana kita sendiri melihat dan tahu keadaan sebenar bagaimana suatu peristiwa itu terjadi. Namun walaupun berita itu tidak benar, sipenyampai berita tidak pula menunjukkan apa-apa reaksi-reaksi pembohongan.
Kenapa? Adakah kerana mereka telah biasa dengan berita-berita palsu tersebut? Adakah kerana mereka hanya bertugas menyampai berita sahaja? Adakah kerana mereka juga tidak tahu samada berita-berita itu benar atau tidak dan mereka berpendapat bahawa bukan tugas mereka untuk menyelidiki samada berita itu palsu ataupun tidak?
Bukankah sepatutnya mereka perlu mempastikan bahwa kenyataan berita yang mereka nyatakan itu betul atau sekurang-kurangnya mereka mempunyai wakil yang amat mereka percayai untuk memberikan mereka maklumat yang betul tentang sesuatu berita itu.
Oleh itu sebagai pemberita atau sebagai sebuah rancangan berita, maka penulis menyarankan agar setiap pemberita dan juga setiap rancangan berita hendaklah juga mempunyai tugas sebagai pencari berita di lokasi-lokasi di mana berita itu berlaku.
Perkara ini adalah untuk meyakinkan diri mereka sendiri dan meyakinkan masyarakat dan pemimpin bahawa berita yang mereka berikan bukan berita yang palsu dan tidak direka-reka oleh orang lain. Jika mereka sendiri yang menyaksikan peristiwa yang berlaku itu di hadapan mata mereka, maka barulah reaksi mereka akan mudah kita lihat sendiri.
Pembohongan Dalam Peperangan
Pembohongan di dalam peperangan amat sukar dielakkan dan berita-berita mengenai peperangan pula amat sukar dipercayai.
Pembohongan demi pembohongan di dalam peperangan ini terpaksa dilakukan untuk meragukan dan menyelewengkan pihak musuh yang mungkin berada dalam selimut dari mendapat tahu keadaan sebenar.
Namun sebagai pemimpin tertinggi peperangan, Rasulullah saw pernah menyoal seorang tahanan perang dengan cara yang paling berhemah dan paling baik.
Apabila seorang tahanan ditanya oleh sahabat mengenai berapa jumlah musuh,
Tahanan itu mengatakan ia tidak tahu. Ia mengatakan bahawa ia hanya tukang masak dan bukanlah seorang tentera.
Para sahabat tidak percaya pada kata-kata tahanan tersebut. Kerana mungkin kebiasaan seorang tukang masak tentera yang dibawa bersama berperang, bukan sahaja mahir memasak tetapi juga perlu mahir berperang dan menggunakan senjata. Kerana manalah tahu kem diserang musuh. Maka bagaimanakah tukang masak itu nanti mempertahankan dirinya?
Namun Nabi Muhammad saw mengiyakan kata-kata tahanan itu. Kata Nabi saw. “Betul, ia tidak tahu apa-apa”. Adakah tuan fikir Nabi menerima bulat-bulat kata-kata tahanan itu atau hanya untuk memujuknya sahaja? Allahu ‘A’lam.
Kata Nabi lagi: “Kalau begitu berapa jumlah binatang yang kamu masak setiap hari?”
Kata tahanan tadi: “9 ekor unta setiap hari”.
Kata Nabi pada sahabat-sahabatnya: “Kalau begitu jumlah tentera musuh ialah dalam sekitar 900 orang”. Au kama Qal saw.
Lihatlah bagaimana Rasulullah saw memujuk tahanan sehingga mendapat maklumat yang berharga dari tahanan tersebut. Kalau Nabi Muhammad saw tidak mengiyakan kata-kata tahanan tadi, adakah tahanan itu akan mengatakan pada Nabi Muhammad saw berapa jumlah unta yang dimasak setiap hari?
Ubat menangani pembohongan dan kesan bohong
Tiada lain ubat bagi menangani pembohongan dan kesan pembohongan ialah solat dan bertaubat kepada Allah swt. jua Kerana solat itu boleh mencegah perkara yang keji dan mungkar.
Surah al-Ankabut ayat 45:
إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar
Menurut Imam al-Gazali, barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegahnya daripada perkara keji dan mungkar maka solatnya tidak diterima oleh Allah swt.
Maka marilah kita sama-sama beringat agar meningkatkan amalan solat kita semaksima mungkin, agar solat kita itu dapat diterima oleh Allah swt dan agar solat itu sendiri dapat menyelamatkan kita daripada segala kemungkaran.
Jika kita masih lagi sukar meninggalkan perbuatan-perbuatan keji, walaupun sedikit, maka tingkatkanlah lagi solat kita ke peringkat yang lebih tinggi.
Kerana itu kita perlu solat berjemaah di masjid setiap waktu. Kerana solat berjemaah di masjid itu merupakan solat yang sempurna.
Kalau belum dapat juga, mungkin solat kita itu agak lewat sedikit, mungkin selalu masbuk.
Kalau belum dapat juga, mungkin solat kita itu selalu ketinggalan Takbiratul Ihram. Atau selesai solat anda tidak berdoa dan sebagainya.
Tuan, ubat ini bukan untuk diri tuan sahaja, bahkan untuk anak isteri dan juga anak-anak buah di pejabat.
Untuk mempastikan anak isteri tuan tidak berlaku curang dan maksiat, maka tuan hendaklah mempastikan anak isteri tuan untuk solat setiap waktu. Kalau sekiranya mereka gagal untuk solat setiap waktu, maka bagaimanakah tuan boleh mempercayai mereka sedangkan pada Allah swt lagi mereka tidak takut?
Namun walaupun mereka pernah tertinggal solat, pembohongan yang mungkin telah mereka lakukan boleh diubati dengan solat berjemaah bersama tuan. Maka apabila tuan selesai solat di masjid, tuan boleh membawa mereka berjemaah sekali lagi dirumah. Perkara ini sentiasa dibuat oleh Abdullah bin Mas’ud dan tiada pula ada sahabat yang melarangnya berbuat seperti itu.
Dengan membawa isteri, anak-anak ataupun anak-anak buah dipejabat solat berjemaah, maka Insya Allah, walaupun selama ini tuan mendapati terdapat sedikit atau banyak pembohongan yang pernah dilakukan oleh mereka, ianya akan terubat juga oleh solat ini.
Firman Allah swt dalam surah Hud ayat 114:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ
And establish regular prayers at the two ends of the day and at the approaches of the night: For those things, that are good remove those that are evil: Be that the word of remembrance to those who remember (their Lord):
Dan tegakkanlah solat pada kedua-dua hujung siang dan pada bahagian permulaan malam Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan, itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu ingat.
Kesimpulannya,
Sekiranya kita ingin mengesan sama ada seseorang itu berbohong, kita perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. Body language sudah boleh menunjukkan sama ada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong.
Kita sendiri juga tidak lepas dari berbohong. Malah kadang-kadang terpaksa berbohong untuk mengawal keadaan yang amat penting dan gawat. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan-kesalahan kita itu. Dan semoga kaum keluarga serta rakan-rakan kita memaafkan kesalahan kita itu.
Namun untuk mendapatkan keampunan Allah swt dalam pembohongan kita itu, bahkan juga pembohongan kita pada kawan-kawan, keluarga dan orang lain, tiada lain selain daripada sentiasa sama-sama berjemaah di masjid solat lima waktu setiap hari dan selepas solat di masjid, ajaklah pula keluarga di rumah untuk solat sekali lagi.
Wallahu ‘A’lam Bissawab. Segala yang baik adalah dari Allah swt dan mana-mana yang tidak baik dari tulisan ini adalah daripada penulis jua.