Nikmat Datang Tiada Jemu
Di manakah kedudukan hati kita tatkala ujian duniawi rakus menyerang dari setiap penjuru menekan kuat pundah iman yang tidak berperisai ampuh,hanya sesekali sahaja tanda-tanda yang sering kabur kembali menyetap sedar dari lamunan berduri supaya mengingati dan menyelami tindakkan yang telah terlanjur kepada siapa kita akan dikembalikan kelak.Hari ini,manusia seolah-olah menjadi kaku dalam memilih hala tuju yang bisa menghubungkan jalan-jalan duniawi bersambung kukuh dengan jalan-jalan ukhrawi yang kekal abadi.Seorang sahabat pernah bertanya kepada penulis tentang masalah seumpama ini,yang jelas fenomena yang tidak sihat bakal membelenggu dan bersarang di dalam hati manusia jika keadah paling tepat tidak dicernakan dengan baik.
Setiap manusia seharusnya peka dalam mengingati serta bersyukur dengan segala nikmat-Nya yang bertandang.Kekadang melalui pemberian-Nya inilah dijelmakan bersama ujian yang menyikap tabir perwatakan sebenar manusia,sejauh manakah rasa terima kasih kita menjernihkan sesuap kurnian-Nya.
Allah Taala berfirman;
“…dan seandainya kalian menghintungkan nikmat Allah,nescaya kalian tidak dapat menilainya”
Ibrahim(14:34)
Terdapat banyak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada manusia baik dalam keadaan tersedar mahupun sebaliknya.Dunia ini,merupakan ciptaan-Nya untuk menempatkan manusia yang mana di dalamnya terdapat halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi dan disusuri untuk sampai ke penamatnya.Namun hanya ilmu dan akal yang sihat sahaja dapat menempuhnya tanpa sebarang kebimbangan dan ianya adalah pilihanraya yang paling dahsyat dalam menentukan keputusan yang baik dapat dipaksikan tika di akhirat kelak.
Allah Taala berfirman;
“Dia yang telah memberikan nikmat-nikmat-Nya secara sempurna kepada kamu baik yang zahir mahupun yang batin”
Luqman(31:20)
Apakah tergamak kita berfikir bahawa dengan berjalan menggunakan kedua-dua belah kaki itu sesuatu yang mengecewakan dibandingkan dengan mereka yang mampu meluncur laju dengan kenderaan tanpa rasa penat sambil mampu beristerehat sambil mengenakan alunan bait muzik yang mengasyikkan padahal di sana terdapat masih ramai manusia lain yang tidak berkaki mengerah segala kudrat untuk bergerak tidak pula mengeluh durja.Mereka pula bijak mengurus tadbir diri supaya sentiasa menuntunkan ucapan syukur kepada Allah Taala kerana masih memberi peluang kepada mereka untuk bergerak mencari sesuap nasi bagi menampung hidup.Mungkin sebab itulah tidak kasar mengatakan manusia tidak mempunyai sifat perikemanusian di ibaratkan seperti binatang.Amat pedih tuduhan itu ditujukan kepada mereka yang pandai berfikir namun mungkin itulah cara Allah Taala mendidik jiwa manusia supaya berwaspada dalam tindakkan.
Allah Taala berfirman;
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang layak kamu dustakan”
ar Rahman(55:13)
Apakah kita berfikir dengan hanya mampu berdiri tegak di atas kedua-dua belah paha dan kaki itu sesuatu yang biasa sedangkan masih ramai yang tidak dapat merealisasikannya.Apakah kita merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan mata tanpa ada rasa kesangsian ditimpa sesuatu yang bisa menggangu gugat kepuasan semasa beradu dan bersemayan padahal masih ramai manusia lain yang tidak dapat merasai nikmat tidur kerana dibebani dilema mesteri yang meresahkan.Pernahkah kita merasai nista tatkala dapat menyatap makanan yang lazat dan minuman yang melegakan kondisi tubuh badan,sementara masih terdapat sebilangan mereka melihat sesama mereka apakah bisa mengisi sesuatu untuk mengalas keluhan perut yang merobek sakit pada hari tersebut.
Renunglah betapa indahnya ciptaan Allah Taala dengan keajaiban kejadian manusia yang begitu unik mengikut perspektif sains sehinggalah terbentuk dzat fizikal manusia yang cukup sifat dan tiada cacat celanya.Apakah kita merasakan dengan melakukan pembedahan plastik untuk merubah ciptaan asal daripada penciptanya merupakan sesuatu yang membanggakan kononnya untuk kelihatan lebih cantik dan bisa menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.Apakah kita sanggup menukarkan segala sifat kesempurnaan yang dianugerahkan itu dengan nilai emas sebesar atau setinggi Bukit Uhud.Apakah kita sanggup menggadaikan pancaindera kita semata-mata untuk mendapat habuan dunia dengan cepat lagi lumayan sehingga menyukarkan kita melaksanakan tuntutan syara’ dan ibadat-ibadat lain yang memerlukan khidmat ikhlas dari pancaindera kita.Mereka yang hanya meletakkan akal di bawah tahap yang sebenarnya,sanggup melakukan semua itu tanpa panjang akal dalam membuat tindakkan,sedangkan mereka yang kurang siuman pun apabila ditanya perihal supaya membuat pilihan antara kekayaan harta dengan anggota pancaindera,bisa menentukan jawapan dengan tepat.
Percayalah walaupun dalam penderitaan dalam merencanakan perjalanan hidup,semua itu merupakan ujian daripada-Nya yang tahu apakah yang terbaik untuk dikurniakan kepada sekalian hamba-hamba-Nya yang pandai meletakkan nilai harga Islam pada tempat yang sepatutnya.Cuba peruntukkan masa selama lima minit hingga sepuluh minit dihamparan tilam sebelum mata dipejamkan untuk merenung sejenak,apakah khidmat yang telah kita abadikan sepanjang hari tersebut sebagai saham untuk kita petik hasilnya di akhirat kelak bagi menjamin tempat di mahligai indah atau akan menempah kesengsaran hidup yang pedih.
Allah Taala berfirman;
“Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah.Apakah kalian tidak memperhatikannya?"
adz Zariat(51:21)
Jangan nodai diri dengan kesan kotoran degil sedangkan kita mengetahui segala nikmat itu adalah pemberian ikhlas daripada-Nya yang hanya ingin melihat kita mempersiapkan diri dengan amal pahala untuk dipersembahkan kepada-Nya di akhirat nanti.
Allah Taala berfirman;
“Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah,tetapi mengikarinya…”
an Nahl(16:83)
Renungkanlah…