Apa Istimewanya Artis Hingga Dikecualikan Dari PLKN???
" Untungnya menjadi artis....PLKN pun boleh dikecualikan. Jika anak saya atau anak anda ponteng PLKN...siaplah masuk lokap!!
Pagi tadi (27.12.2008) selepas joging bersama isteri dan anak perempuan saya di Taman Rimba, seperti biasa saya akan ke Pasar Tani berdekatan Stadium Darulaman, Alor Star. Ketika itu saya melihat banyak deretan bas memenuhi tempat lapang di luar stadium. Jalan yang biasanya tidak banyak kenderaan tiba-tiba menjadi sesak. Apabila mendekati deretan bas di situ, barulah saya tahu rupanya bas yang disediakan itu adalah untuk mengangkut peserta PLKN ke kem latihan masing-masing.
Ketika sedang minum sambil menjamah nasi kerabu di salah sebuah gerai berhampiran Pasar Tani saya mendengar celoteh seorang ibu yang turut menghantar anaknya untuk menghadiri PLKN:
"Anak saya pun ada tanggung jawab juga. Anak sulung lagi, kena sara 5 adik, suami saya dah meninggal. Tapi anak saya yang sulung tu pi juga PLKN. Tak pi takut kena tangkap polis. Tapi saya dengar ada artis kita dikecualikan dari PLKN!"
"Artis mana, kak dengar dari sapa?", tanya seorang wanita yang minum di sebelah kakak itu.
"Namanya Diana ....Diana Danielle. Tu la, artis yang dulu berkawan dengan anak Yusof Haslam tu! Dia pun patutnya hari ni pi PLKN juga, tapi dikecualikan, artis la katakan..." jawab wanita yang membahasakan dirinya sebagai kakak itu.
"Sapa bagitau kakak dia dikecualikan dari PLKN?"
"Kakak baca dalam surat khabar", jelas wanita itu, "Surat khabar kata dia sedang menjalani penggambaran filem, sebab itu dapat pengecualian. Yang anak kak tu pun kerja juga, dia tempat kami bergantung hidup, tapi pi juga dia. Yang kak tak puas hati ni, apa istimewanya artis kita ni hingga dikecualikan pula? Apa depa kentut tak busuk ka?"
Saya hampir tersedak teh tarik yang sedang diminum mendengar marah campur lawak wanita itu. Tapi dalam hati saya, saya bersetuju (jika berita yang didengari itu benar), apa istimewanya sangat Diana itu hingga dikecualikan dari menghadiri PLKN? Adakah kerana artis terkenal yang kebetulan sedang menjalani penggambaran filem, dia boleh dikecualikan? Apa bezanya Diana dengan anak kakak itu dan mungkin juga ramai lagi remaja di luar sana yang walaupun ada tanggung jawab lain tetapi terpaksa juga menjalani PLKN? Adakah mungkin kerana Diana itu artis yang kebetulan ada 'kabel' yang kuat dia boleh dikecualikan?
Setahu saya semua remaja yang terpilih perlu menghadiri PLKN, kecuali atas faktor-faktor berikut mereka boleh dipertimbangkan untuk dikecualikan:
i) Seseorang yang akan menduduki suatu peperiksaan penting dalam tahun yang mana dia dikehendaki menjalani PLKN;
ii) Seseorang yang sedang meneruskan pengajiannya dalam tempoh yang dia dikehendaki menjalani PLKN; dan
iii) Apa-apa keadaan lain yang boleh menimbulkan kesusahan yang luar biasa kepada orang tersebut jika dia menjalani PLKN.
Soalnya apakah artis yang dikecualikan itu termasuk dalam syarat pengecualian ketiga iaitu kehadirannya ke PLKN boleh menimbulkan "kesusahan luar biasa" kepadanya. Tetapi "kesusahan luar biasa" yang bagaimana yang dimaksudkan, adakah dia takut kulit kemerah-merahannya itu menjadi gelap dibakar cahaya matahari atau "kesusahan luar biasa" kepada syarikat perfilemannya yang mungkin kerugian tanpa kehadirannnya?
Tiba-tiba hati saya teringat kepada seorang pemuda miskin dari Perlis yang terpaksa meringkuk dalam lokap polis kerana gagal mendaftarkan diri sebagai pelatih PLKN beberapa tahun dahulu yang ceritanya ada tersiar dalam akhbar kita. Ketika itu baru saya sedar bahawa dalam hidup ini memang ada perbedaan darjat, seperti cerita P.Ramlee, "Antara Dua Darjat". Walaupun kakak tadi ada menyatakan kita sama-sama manusia yang kentut sama busuk baunya, tetapi belum tentu nasib kita sama. Ini kerana anak kakak tersebut dan pemuda dari Perlis yang pernah merengkok dalam lokap itu adalah anak orang biasa, manakala Diana adalah seorang artis terkenal!
Oleh : Pendikar Gunung Kriang
http://pendikargunung.blogspot.com