Sekelip Mata Bangunan Menyembah Bumi
“Terus bagaimana keadaan Adik Ana ketika itu?”Suara teragak-agak penulis terpancut mencelah.
“Bonda…Bonda…Bonda!”
“Ada sesiapa tahu ngap bonda saya lagi di mana?”
“Ngapain bonda saya ngap pulang-pulang lagi?”Teman penulis meneruskan sketsanya sendirian tanpa mempedulikan bebola mata yang memerhati.Beliau mengulangi dialog sama,yang pertama kali terjeluak keluar daripada mulut Adik Fatriana ketika matanya mula menampakkan sinar dunia dari lenaan panjang.
“Tahukah kalian,kenapa kita umat akhir zaman,sejak akhir-akhir ini sering kali ditimpa pelbagai musibah?”Teman penulis cuba menarik perhatian para tetamu lain yang duduk berhampiran dengannya.Penulis terus menangkap kemas setiap bait kata-katanya,yang dibiar hanyut bersama semangat sang perwira merubah ‘mood’ para tetamu disekelilingnya sambil menatap juadah yang terhidang.
Boleh dikatakan sambutan perayaan Eiduladha pada tahun ini cukup meriah berbanding tahun pertama penulis menjejak kaki di bumi penuh barakah ini.Penulis tidak merasakan kepenatan yang mula bermain culas di sendi-sendi dan otot-otot suatu yang harus diganti dengan metarial,namun kehadiran teman-teman di segenap daerah cawangan Institusi Pengajian Tinggi di Mesir ini baik mereka dari pengajian Islam mahupun perubatan,sudah cukup menjadi penawar yang tidak perlu meraih simpati.
Perjalanan pulang penulis selepas selesai berkunjung ke rumah terbuka bersempena sambutan Hari Raya Eiduladha,ditemani rasa penuh semangat yang tersirat disebalik tabir cerita yang telah dinaqalkan oleh teman tadi.Rasa ingin tahu dan sedih bagaikan awan mendung mula menyelubungi hati penulis lantas menjentiknya supaya sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang dikecapi sekarang.Lantaran itu,terdetik di sudut hati penulis untuk menggarap satu artikel berkenaan suatu peristiwa besar yang pernah tercetus,mengakibatkan angka kematian manusia dalam rekod bencana alam yang tertinggi pernah dicatat dunia.Apakah ianya suatu bencana atau bahana?
Tsunami adalah satu nama yang menjadi ingatan dan paling ngeri untuk dibincangkan seolah-olah menjadi suatu perayaan disambut bagi mengingati peristiwa itu,apatah lagi dikalangan mereka yang pernah merasainya sendiri keperitan tatkala bumi tiba-tiba berubah menjadi asing dari keadaan asalnya.Jalanan menjadi alur untuk air mengalir deras,rumahan bagaikan pondok-pondok yang dibina di atas air,pokok-pokok semuanya menjadi bahtera yang tidak siap untuk dinaiki meluncur laju bagaikan hilang pengemudi,manusia tidak berdosa dikerah menjadi ikan-ikan besar di laut buatan tangan mereka sendiri,dan hasilnya bilamana air mula surut,bumi menjadi tandus berselut seperti “padang jarak padang terkukur”.Itulah keperitan dan kejerihan yang telah dialami oleh Adik Fatriana yang telah kehilangan keluarga tersayang terutama ibunya yang selama ini menjadi tempat dia bermanja serta meluahkan perasaan tatkala diri bimbang melihat gelagat mehnah dunia membunuh jiwanya dalam proses membina diri mengenal ‘puaka’ tua ini.
BENCANA tsunami masih menghantui seluruh kawasan yang dilanda sejak sebulan lalu memakan korban lebih 150,000 orang,malah statistik kian meningkat sepanjang tempoh usaha menyelamat dan pemulihan yang berterusan.Badan penyelamat antarabangsa menganggarkan jumlah kematian mungkin mencapai 300,000 orang kerana ramai mangsa yang terselamat tetapi menghadapi kecederaan serius.Keadaan boleh bertambah meruncing akibat jangkitan,kekurangan bekalan ubat,makanan,air bersih pakaian serta masalah psikologi persekitaran yang tidak dapat menjamin keadaan puIih dalam jangka masa singkat.
Gelombang kuat hasil gempa dasar laut membuka kawasan liputan yang cukup luas sehingga seribu kilometer.Keseluruhan persekitaran bencana yang bermula di Bandar Aceh Sumatera ke wilayah Phuket,Thailand ke utara Malaysia seterusnya ke Sri Lanka,India dan beberapa kepulauan kecil melengkapkan lagi suatu putaran ganas berbentuk fizikal yang sudah tentu akan lebih menjadikan mangsa miskin serta lebih mundur.
Kesan ini jauh lebih hebat dan menggerunkan berbanding putaran ganas kemiskinan yang sekian lama dimomokkan pakar ekonomi klasik Barat.Sementara itu,rintihan berpanjangan terhadap nasib mangsa dan persekitarannya akan hanya memberikan kesan lebih buruk terutama daripada aspek ekonomi dan sudah tentu kombinasi masalah itu akan memendamkan lagi negara miskin di Asia dalam proses pembangunan dan kemajuan.Hegomoni pembentukan jurang kemiskinan juga akan menjadi lebih ketara sedangkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di Asia sedang memuncak dan berada di landasan betul untuk melonjak naik.
(Petikan sumber berita harian;bertarikh 26 Januari 2005)
Hukum Alam dan Sunnatullah
Saban tahun kita dikejutkan oleh kejadian bencana alam yang meragut banyak nyawa serta memusnahkan sejumlah besar harta benda.Bencana alam itu terjadi dalam bentuk ribut taufan, gempa bumi,letusan gunung berapi,banjir besar, kebakaran hutan, kemarau panjang, jerebu dan sebagainya. Bencana besar juga berlaku dalam bentuk penyakit berjangkit yang sukar diatasi seperti selesema burung,HIV/AIDS,serangan serangga perosak tanaman dan banyak lagi.Sejak akhir-akhir ini bencana tersebut nampak semakin kerap dan lebih besar daripada biasa.Ia juga melanda kawasan yang belum pernah di landa sebelum ini.Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.
Allah Taala berfirman;“Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya.Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir”el Jashiat (45:13)
Apabila berlaku bencana besar pada alam ini,pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat,malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut.Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?
Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas.Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin,pergerakan awan,getaran bumi,ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi.Namun,manusia tidak mampu menafsirkan kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu.Persoalan ‘kenapa’ ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.Kita hanya mampu meramalkan pada tahun ini akan berlaku gejala elnino.Namun,sudah ada yang menyanggah walaupun kita lihat lain pula yang berlaku.
Allah Taala mengutus el Quran untuk dibaca,diteliti diambil pengajaran dan dilaksanakan.Kisah-kisah di dalam el Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu yang ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam el Quran itu.Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan.Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati.Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.
Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan,di negara yang di diami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.Lihatlah Tsunami yang melanda Bandar Aceh,Sri Lanka, Phuket dan Pantai Barat Malaysia.Sungguhpun bala itu tidak sehebat bala yang pernah menimpa kaum-kaum yang terdahulu,kita sudah pun merasakan betapa perit dan sengsaranya hidup selepas terjadinya malapetaka tersebut.
Allah Taala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad.Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat.Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki (setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman),rasa takut dan gelisah (kes-kes jenayah bertambah),malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Tsunami Antara Bala dan Bencana
Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ‘ombak laut pelauhan’.Tsunami merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang membawa erti "ombak pelabuhan".Dalam bahasa Inggeris, gelombang tsunami dikenali sebagai ombak pasang surut (Tidal wave).Gelombang tsunami sebenarnya merujuk kepada ombak besar yang membawa kemusnahan kepada bangunan tepi pantai.
Tsunami merupakan ombak besar yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang terjadi di dasar laut. Tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Ombak ini bergerak dengan laju beberapa ratus kilometer sejam dan dalam perjalanannya akan menaikkan dan menurunkan paras air laut.
Dalam lautan yang dalam,gelombang tsunami mempunyai amplitud ketinggiannya hanya beberapa sentimeter atau kurang sahaja.Oleh kerana jarak dari puncak ke puncak adalah ratusan batu, pergerakan turun naik tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kapal yang belayar diatasnya dan mungkin tidak menyedari kejadiaanya.
(sumber artikel dipetik dari Pusat Khidmat Masyarakat)
Allah Taala berfirman;“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah,Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah),Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”et Taghabun (64:11)
Bumi merupakan suatu planet yang amat kecil dalam alam raya yang dijadikan oleh AllahTaala.Di sana terdapat berjuta-juta bintang,bulan dan planet-planet lain yang sentiasa berputar dan berpusing mengikut putaran dan pusingan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Mencipta.Jika disifatkan bumi ini suatu benda yang hidup,sudah pasti setiap yang hidup akan mengalami proses penyesuaian diri dengan persekitaran untuk mewujudkan keseimbangan yang menjadi syarat kelangsungan dan ketahanan.
Setiap pusingan dan putaran itu tentulah memberi kesan kepada kehidupan.Jika pusingan bulan mengelilingi bumi dan peredaran bumi mengelilingi matahari boleh mengakibatkan pasang surut paras laut, gerhana bulan dan bintang dan lain-lain fenomena lagi,maka sudah tentulah peredaran seluruh bintang-bintang itu akan memberi kesan kepada keseimbangan alam ini.Atas asas ini,maka fenomena yang terjadi kepada bumi ini tentulah mempunyai hubungkaitnya dengan alam di luar bumi,cuma manusia tidak dapat mengesannya. Semua pergerakan dan proses peyesuaian ini berada di bawah kuasa Allah Taala yang mencipta makhluk dengan fitrahnya sekali.Sepertimana makhluk-makhluk yang lain,bumi mempunyai sistem atau sunnah (perjalanan) hidup yang telah ditentukan oleh AllahTaala.
Jika makhluk lain mengalami proses kelahiran,pembesaran,kematangan dan akhirnya kematian,maka bumi juga mengalami proses yang sama dengan caranya yang tersendiri.Sungguhpun kita lihat secara zahirnya bumi tidak bergerak atau membesar,namun ia mengalami proses hakisan,luluhan,perubahan kepada struktur batu batan (terutamanya semasa letusan gunung berapi atau gempa bumi berlaku) dan kemendapan.Keadaan-keadaan ini memang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan tidak berlaku dengan sendirinya.
Perbuatan manusia-manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab turut menyumbang kepada wujudnya keadaan yang tidak selesa kepada kehidupan masa kini.Pada masa sekarang,kita merasa bahang kepanasan apabila hutan-hutan ditebang,bukit bukau digondol,sumber air dan udara dicemari dan sebagainya.
Allah Taala berfirman;“Telah timbul kebinasaan (kerosakan) di daratan dan di lautan angkara tangan-tangan (kerja-kerja jahat) manusia sebagai suatu balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan,supaya mereka kembali pada jalan yang benar”ar Rum (30:41)
Allah Taala Berfirman;“(Walaupun demikian),ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah;sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya,(nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)”el Baqarah (2:165)
Bencana tsunami yang berlaku seharusnya dinilai dengan mata hati,bahawa bencana tersebut merupakan amaran daripada Allah Taala, bukan sahaja kepada mereka yang berada di kawasan tersebut, tetapi juga kepada seluruh umat manusia dan terutamanya kepada mereka yang mengaku Islam, bahawa mereka haruslah kembali kepada Tuhannya dan ad Din iaitu Islam.Ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini telah melakukan begitu banyak dosa dan ada diantara dosanya termasuk dosa-dosa besar,yang boleh membawa mereka terkeluar dari lingkungan Islam,manakala ada yang secara tidak sedar menjadi kufur.Kita melihat mereka yang melengah-lengahkan dan ada yang meninggalkan solat, memakan makanan dan meminum minuman yang haram, mengamalkan riba,tidak menunaikan amanah,melakukan kerja-kerja mungkar dan mencegah yang ma'aruf,memerintah dengan menggunakan undang-undang kufur,menyokong dan membuat alasan bagi pemerintah mereka yang murtad dan kerajaan mereka di bumi umat Islam, menyekutu sesuatu dengan Allah Taala sama ada dari nama-Nya,sifatnyanya dan perbuatannya,pergaulan bebas,mendedahkan aurat, mendengar irama dan lagu atau menonton filem yang melalaikan dan maksiat,meninggalkan el Quran dan Sunnah.Kesemua ini telah lama wujud dalam masyarakat kita.
Marilah kita bertakwa kepada Allah Taala dan menjadikan peristiwa yang berlaku ini sebagai amaran daripada Allah Talaa.Allah Taala memberi kita peluang dan janganlah kita lalai mengenainya.Apa yang telah berlaku mungkin akan berlaku lagi jika sekiranya kita mengikuti jejak langkah syaitan dan menjauhkan diri dari Allah yang Maha Pengasih.
Menerima Ketentuan Dengan Rasa Penuh Hikmah
Di dalam kehidupan ini,terdapat dua golongan manusia,iaitu golongan pertama ialah golongan yang tidak dikenakan ujian daripada Allah Taala.manakala golongan kedua ialah golongan yang ditimpakan oleh Allah Taala akan ujian semasa hidup mereka di dunia lagi.Kedua golongan ini mempunyai keyakinan diri berdasarkan latarbelakang kehidupan masing-masing.Bagi golongan yang tidak mendapat ujian seperti kejadian gempa bumi,letusan gunung berapai dan selamat dari lingkungan ombak besar (tsunami) boleh dikotegarikan dikalangan manusia yang bernasib baik,namun keyakinan terhadap Hari Akhirat dan kebesaran Ilahi akan menjadikan orang yang bernasib baik lebih sentiasa berwaspada dan berhati-hati,bahawa mereka tidak akan dilalaikan oleh kecintaan dunia dan kemewahan hidup sehingga lupa akhirat.Kita akan sentiasa menyedari bahawa segala nikmat yang sedang kita kecapi adalah berbentuk sementara untuk menguji setakat mana kesedaran kita mensyukuri nikmat tersebut dan amanah diberikan.
Disamping itu,dikalangan mereka yang diberi ujian pula,seperti mereka yang ditimpa bencana tsunami ini,berdiri di atas keyakinan kepada Hari Akhirat dan kebesaran Ilahi juga memberikan suntikan semangat untuk mereka terus berjuang membela nasib masa hadapan mereka,apa juga kekurangan tidak akan melemahkan semangat untuk terus membangunkan diri dan mempertingkatkan pengabdian diri kepada Allah Taala kerana mereka cukup yakin bahawa segala-gala yang terjadi sudah ditakdirkan oleh-Nya dan tentunya mempunyai hikmah.
Nabi bersabda;“Besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian,dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum,diuji mereka dan kemudian setiap yang menerima ujian itu dengan redha maka mereka akan beroleh keredhaan Allah,dan barangsiapa yang berkeluh resah serta benci menerima ujian itu maka mereka akan mendapat kemurkaan Allah”(Hadith riwayat at Tarmidzi dan Ibn Majah)
Allah Taala berfirman;“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya:Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”el Baqarah (2:214)
Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia,dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak,mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting,yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini,dan bukan untuk berseronok semata-mata.Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja,tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi,iaitu di akhirat.
Justeru itu,setiap pekerjaan kita di dunia ini perlu berteraskan konsep memperhambakan diri kepada Allah Taala dalam sebarang kegiatan sama ada politik,ekonomi,pendidikan,sosial,hiburan,sukan dan sebagainya.Menghambakan diri kepada Allah Taala dalam sesuatu pekerjaan di dunia mestilah antara lain mematuhi perkara-perkara berikut;
a)Pelaksanaan sesuatu pekerjaan hendaklah diniatkan kerana mencari keredhaan Allah Taala.
b)Hendaklah sesuatu pekerjaan yang dilakukan,adalah perkara yang diharuskan oleh syara’.Maka berdosa menjalankan kegiatan yang diharamkan oleh syara’.
c)Pekerjaan tersebut dilakukan hendaklah berprinsipkan rasa perhambaan diri kepada Allah Taala dan memetingkan kemaslahatan umat.Haram jika pekerjaan yang dilakukan dipengaruhi runtutan hawa nafsu dan tipu daya syaitan.
Dalam mencapai apa jua tujuan hidup dan matlamat di dalam kehidupan,Islam telah menetapkan panduan iaitu hendaklah bercirikan perhambaan diri kepada Allah dan ehsan menjadi kompas,memandu arah dalam menempuh suasana pilihanraya yang cukup dahsyat ini.
Allah Taala berfirman;”Dan tidaklah aku menciptakan sekalian jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku”adz Dzaariat (51:56)
Adakah kita sudah sampai pada tahap yang dikehendaki oleh Allah Taala Dzat,Tuhan Maha Esa dalam mengemudi bahtera di lautan nafsu yang buas ini?
Maka jentiklah hati dan tanyakan Iman