Siapa Yasmin Ahmad???
Saya tidak berani menulis mengenai kematian Yasmin, bimbang apa yang ada di kepala saya sejak beberapa tahun lalu terluah.
Selepas membaca apa yang ditulis oleh Nobisha dalam postingnya semalam (Isnin, 27 July, 2009 bertajuk “Marina, Yasmin & Zulkifli”, saya turut insaf bahawa yang mati biarkan dia bersama Tuhannya.
Melalui blognya Nobisha berkata: “Saya tidak pernah bertemu Allahyarham Yasmin Ahmad.
Saya juga tidak mengenali Datin Paduka Marina Mahathir secara peribadi. Bagaimanapun, saya boleh memahami mengapakah Marina begitu marah apabila akhbar Kosmo! "mendedahkan" Yasmin sebenarnya Zulkifli. Sementara saya juga tidak setuju dengan perbuatan akhbar Kosmo!, alasan saya dan Marina berbeza. Klik di sini untuk membaca laporan Malaysiakini.
Usah salah faham. Saya tidak berniat mempertahankan yang salah. Bagaimanapun, oleh kerana Yasmin Ahmad sudah meninggal dunia, maka biarlah urusan seterusnya antara beliau dan Allah s.w.t. Tentunya banyak perkara yang kita tidak ketahui tentang Yasmin sebagai seorang individu, maka biarlah kita berprasangka baik dan memohon keampunan baginya.”
Saya seperti juga Nobisha tidak mengenali Allahyarham Yasmin Ahmad secara peribadi.
Namun saya sedikit mengenali beliau melalui filem-filemnya. Perkenalan awal saya dengan Yasmin ialah melalui Bintang RTM 1975, apabila beliau adalah pesertanya.
Kemudian melalui albumnya Zulkiflee terbitan Warnada melalui lagi Tunggulah (lagu copyright dan senikatanya oleh Dinosman). Saya masih menyimpan album itu hingga kini.
Penerbit album ini ialah Daos dan muzik oleh Ooi Eow Jin.
Yang sahaja tahu beliau menukar jantina tetapi saya tidak tahu dia berkahwin.
Yang bermain di kepala saya kini ialah kematiannya sebagai wanita atau lelaki?
Yang bermain di kepala saya sebelum ini ialah apakah masyarakat kita kini, termasuk ulama dan orang beragama ‘menerima Yasmin seadanya’ walaupun banyak perkara boleh diperkatakan dalam konteks Islam mengenai dirinya.
Bagi saya, menerima seadanya diri seseorang – sama ada dia pemimpin, artis, pelukis, ahli politik – dan sebagainya ada merbahayanya. Kenapa?
1. Apabila menerima yang ‘salah’ mengenai diri seseorang, jika dia Islam bermakna Islam ‘membenarkan’ diri seseorang itu berada dalam keadaan sedemikian dan masyarakat harus menerimanya;
2. Apabila menerima seseorang pemimpin yang ‘salah’ atau ‘salah laku’ bermakna Islam ‘membenarkan atau tidak kisah’ mengenai perkara itu dan imej Islam juga akan turut digambarkan seperti watak orang berkenaan;
3. Apakah wajar Ulama dan tokoh agama kita berdiam diri hanya kerana seseorang itu pemimpin, artis dan apa juga gelarannya kerana orang itu popular dan jika membuka mulut bimbang akan jadi kontroversi. Untuk siapa mereka ini berkhidmat atau ‘menyandarkan dirinya’? Kepada wang ringgit atau agama Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini?
4. Apabila anak muda, belia atau juga masyarakat menerima ‘orang seperti ini’ dan dijadikan Ikon, kenapa ulama dan tokoh agama menyalahkan anak-anak muda dan yang muda meletakkan orang seperti ini dikedudukan tinggi, sedangkan mereka tahu ‘kedudukan sebenar’ orang ini. Siapa mahu disalahkan?
Saya kesal dengan kecaman keras Datuk Marina Mahathir terhadap akhbar Kosmo! kerana mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang sejak lahir dikenali sebagai Zulkifli.
Menyifatkan akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu Bhd itu sebagai "makhluk yang hina", aktivis wanita itu berang dengan media berkenaan yang melaporkan pengarah itu sebagai seorang naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya sewaktu dikenali dengan nama asalnya.
Mungkin saya juga akan digelar ‘makhluk yang hina’. Tidak mengapalah – yang saya tertanya-tanya ialah berapa lama lagi ulama dan pakar agama kita akan berdiam diri dengan kes-kes tukar jantina dan kemudian berkahwin.
Malah jelas isu-isu seperti pondan, gay, kelab gay dan sebagainya yang bagi saya sebagai seorang Islam yang jahil menuntut agar diberikan sedikit ‘cahaya penyelesaian’ bukan membiarkan gejala ini berterusan.