Kenapa Tak Mahu Berubah???
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bersempena memperingati peristiwa hijrah yang banyak diulang sebut setiap kali tibanya 1 Muharram, saya ingin membawa para pembaca kepada satu artikel yang pernah saya tulis tidak berapa lama dahulu iaitu berkaitan hijrah diri, berubah daripada satu tahap kepada tahap yang lebih baik di dalam cara kita mengamalkan Islam yang kita anuti.
Quote::
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. ”
(Maksud ayat 128, surah Al-Nahl)
Daripada ayat ini, ketahuilah bahawa kita dituntut untuk sentiasa memperbaiki amalan kita yang juga memerlukan kita memperbaguskan ilmu untuk memperbaiki amalan serta memperkemaskan iman.
Namun bukan mudah untuk seseorang itu membawa dirinya berhijrah kepada tahap yang lebih baik berbanding dirinya kini. Kenapa tak mahu berubah? Mari kita bermuhasabah diri, adakah perkara-perkara di bawah ini menjadi penyebabnya. Untuk memudahkan, kita ambil satu contoh amalan, iaitu Solat.
Selesa cara sekarang
Melanggar perintah tapi tak nampak apa-apa kemudaratan, maka selesalah kita dengan dosa kita. Kita rasakan tiada beza kalau meninggalkan atau mengerjakannya suruhan Solat fardhu lima kali setiap hari. Kita rasakan tak rugi apa-apa bila tidak solat. Sungguh, perasaan selesa ini amat berbahaya jika kita biarkan.
Tiada teguran
Sudahlah hati berasa selesa dengan dosa yang dibuat, tiada pula yang menegur. Kalau ditegur pun, org yang menegur tidak bersungguh. Atau sekadar dengar teguran di dalam khutbah Jumaat, dalam tazkirah ringkas di radio atau tv tanpa orang yang menegur betul-betul berada di hadapannya, boleh diajak berkomunikasi secara dua hala.
Takut dikata “Kera Sumbang!”
Pernah terfikir untuk berubah, tapi takut menjadi orang asing bagi keluarganya atau rakan-rakannya yang masing-masing melakukan dosa meninggalkan solat. Contohnya sedang menonton konsert Rock bersama rakan-rakan, terfikir untuk bersolat hampir tamat waktunya, tapi tiba-tiba rasa seperti “Kera Sumbang” kalau pergi bersolat, sedangkan rakan-rakan lain tidak.
Gelap mata hati
Banyak mendengar amaran siksaan balasan dosanya, tahu yang mana dosa, yang mana pahala, yang mana larangan yang mana perintah, tapi mata hati dah gelap..tak diendahkan semua itu.
Bisikan syaitan
Mungkin ramai yang akan tidak bersetuju dengan sebab ke lima ini kerana kita tak nampak apa itu bisikan syaitan. Tetapi yakinlah bahawa mereka wujud dan mereka ialah golongan yang tidak berputus asa untuk menghanyutkan manusia dengan dosa. Allah dan rasul-Nya telah mengajar bagaimana melindungi diri daripada kejahatan syaitan. Tapi ramai yang tak mengendahkannya. Maka mudahlah syaitan dan sekutunya mempengaruhi manusia.
Akan berubah, tapi nanti..di hari tua
Ada jugak yang jawab begini. Saya masih muda, nanti dah tua nanti, saya taubatlah, saya duduklah di masjid selalu, sekarang masa untuk dunia, masa untuk akhirat nanti..dah tua nanti. Sebenarnya mereka yang memberi jawapan ini telah tertipu. Tertipu dengan dirinya yang sihat dan usianya yang muda, sedangkan ada orang yang bertemu ajal walaupun tidak sakit, walaupun masih muda. Ajal maut kita tak tahu bila, selagi berkesempatan janganlah bertangguh.
Tiada tunjuk ajar
Teringat saya, Ustaz Masridzi Sat ada cerita, remaja-remaja rosak ahklak yang dibawa ke pusat pemulihan dan perlindungan PERKID ada berkata, mereka pernah rasakan mereka teruk, ada keinginan untuk berubah, tapi tiada siapa nak beri tunjuk ajar. Ibu dan bapa di rumah tak pernah nak tegur, nak tunjuk yang mana salah yang mana betul, jenguk surau dan masjid-masjid pula..Ustaz-ustaz asyik buka kitab dan yang datang mendengar golongan tua-tua belaka.. Maka mereka tak jumpa siapa nak tolong untuk bimbing nak berubah, sedangkan keinginan ada.
Itu antara sebab mengapa kita tidak mahu berhijrah. Ya..memang betul smuanya bergantung kepada hidayah daripada-Nya. Dengan hidayah-Nya sahaja yang boleh membawa cahaya Iman kepada seseorang. Tetapi mengikut akidah Ahli Sunnah Waljamaah, kita bukan disuruh menurut saja apa yang ditakdirkan, sebaliknya perlu berusaha merubah diri sendiri, memohon hidayah daripada-Nya selalu, meminta Iman yang ada sentiasa terpelihara, mengharap diberi pertolongan utk meningkatkan ketakwaan. Itulah anjuran yang sebaiknya.
Allah juga ada menyatakan, hidayah itu perlu diusahakan untuk diperolehi, ada disebut yang maksudnya:
Quote::
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)“.
(As-Sajedah, ayat 13)
Allah juga ada menyatakan mendapat hidayah atau tidak, itu sebenarnya adalah pilihan manusia itu sendiri, seperti firmanNya yang bermaksud:
Quote::
Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah ( dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah ( dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?
(Az-Zumar, ayat 36-37)
Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri, adakah kita memilih untuk ke Syurga atau memilih untuk ke neraka? Sebagai akhirnya, saya senaraikan dosa-dosa besar dan kecil yang sering dipandang ringan oleh umat Islam hari ini yang mana ia perlu diubah agar tidak dilakukan lagi. Sama-samalah kita berazam untuk mengubah diri kita.
Senarai 10 dosa-dosa besar dan kecil yang dipandang ringan oleh umat Islam hari ini:
Meninggalkan solat, terutamanya solat Subuh.
Tidak menunaikan zakat pendapatan.
Mendedahkan aurat kepada golongan ajnabi (orang yang boleh dikahwini). Wanita memakai wangi-wangian untuk dihidu ajnabi.
Mengumpat, mengata, mencarut.
Bersalaman lelaki perempuan (adik-beradik ipar bukanlah haram dikahwini selamanya, tetapi haram sementara, maka elakkan bersalaman dengan adik-beradik ipar berlainan jantina).
Leka dengan hiburan nyanyian hingga lalai mengingat Alloh.
Melewat-lewatkan solat tanpa keuzuran.
Meminggirkan jiran-jiran tetangga.
Boros berbelanja hingga membazir kepada perkara yang tidak perlu.
Tidak menepati masa bila berjanji.