Like My Facebook Page

Anda follow blog saya, saya akan follow blog anda kembali. =)

Tazkiyatun Nafs

Satu persoalan timbul dalam benakku,“ Layakkah kita menagih cinta insan seandainya cinta Tuhan belum tergapai?Sedangkan cinta Allah adalah segalanya, cinta Rasul lambang cinta kepada-Nya, cinta ibu bapa tulus selamanya, cinta saudara ukhwah kerana-Nya dan cinta pada’nya’ pelengkap kasih-Nya…Hamparkanlah cinta kepada Yang Selayaknya..Jadi,jika mengharap cinta sejati, dambalah kasih Ilahi, itulah cinta hakiki..tepuk dada, tanya iman, tanya akal fikiran, tanya hati, tanya diri sendiri…Sejauh manakah taraf cinta kita ini? ”
gravatar

Membina Sebuah Bangsa

Melahirkan sebuah generasi harapan, yang boleh melahirkan pula generasi kemenangan, akan menatijahkan kelahiran satu mercu kejayaan bagi sejarah sesuatu bangsa. Sejarah mana-mana bangsa mengalami pasang surutnya, maka melahirkan satu generasi harapan adalah salah satu pusingan perjuangan menuju ke era gemilang.

Bangsa bagi saya mempunyai dua maksud. Bangsa dengan erti kata kaum dan ras. Satu lagi ialah bangsa berasaskan negara dan watan. Kaum adalah berasaskan keturunan. Tetapi dalam kes Arab dan Melayu, seolah-olah terdapat kesamaan apabila Rasulullah S.A.W. telah mengungkapkan Arab ini sebagai bahasa dan agama Islam.

Al-Hafiz Ibnu Asakir ada meriwayatkan dalam musnadnya daripada Malik bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Wahai manusia, tuhan itu satu, bapa itu satu, agama itu satu. Arab itu bukan kerana hubungan kamu dengan bapa atau ibu kamu tetapi Arab itu adalah bahasa. Sesiapa yang berbahasa Arab dia adalah orang Arab” (Koleksi Risalah Hasan al-Banna, 1990).

Ungkapan hampir serupa untuk orang Melayu ialah “seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu” (Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan).

Jika mengambil kira bangsa berasaskan watan pula, bagi umat Islam kita mempunyai dua watan. Pertama ialah watan asal usul dan tempat tumpah darah kita, dan kedua ialah watan Islam di serata dunia, yang pernah dimiliki oleh umat Islam. Sudah tentu watan tempat tumpah darahnya adalah lebih utama untuk seseorang muslim mencurahkan segala sumbangan, tenaga, harta, masa dan pengorbanannya, bahkan nyawanya. Kekuatan watan tumpah darah secara langsung menyumbang ke arah kebangkitan semula watan Islam seantero dunia.

Membangunkan dan membina lebih baik daripada membaiki. Begitu juga mencegah lebih baik daripada merawat. Itu satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, sehingga dipahatkan dalam bentuk peribahasa. Jika begitu dikatakan bagi sesuatu barangan yang rosak atau manusia yang berpenyakit, maka sudah tentu ia lebih sesuai bagi sebuah masyarakat dan negara yang menghadapi pelbagai kemelut.

Bahkan itulah yang wajib dilakukan. Ini kerana masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat dan negara bersifat kompleks dan sukar untuk dirungkai satu persatu tanpa menyentuh yang lain.

Jika kita mahu membuat pelan membina sebuah rumah atau bangunan, kita hanya perlu berjumpa dengan seorang arkitek. Kemudian jurutera akan mengetuai kerja-kerja pembinaan. Kebiasaannya, sesebuah rumah atau bangunan kecil hanya diserahkan kepada tukang untuk menyiapkan bangunan tersebut. Betapa kerja untuk membina bangunan itu mudah. Asal siap ongkosnya, kita hanya perlu tunggu masa saja untuk masuk ke rumah baru.

Tetapi bagaimana agaknya pelan untuk membina sebuah bangsa? Dan bangsa yang hendak kita bina itu upayanya ialah memimpin bangsa-bangsa yang lain. Sudah tentu terbayang di fikiran kita betapa sukarnya untuk menjawab persoalan ini.

Bagaimanapun petua untuk menjawab persoalan di atas ada dalam lipatan sejarah. Sejarah manusia umumnya dan sejarah Islam secara khusus. Sejarah sentiasa berulang dan manusia mesti mengambil pengajaran daripada peristiwa yang pernah berlaku.

“History is a people’s memory, and without a memory, man is demoted to the lower animals”, (Malcolm X, 1965).

Tetapi malangnya tidak ramai orang kita yang mahu mempelajari sejarah di bangku sekolah. Mungkin kerana faktor tidak glamor, tidak seperti subjek sains dan matematik yang menjanjikan kerjaya sebagai saintis, doktor, jurutera dan sebagainya, subjek sejarah dilihat membosankan oleh kebanyakan pelajar kita.

Untuk kita mempelajari cara untuk membangunkan sebuah bangsa, kita harus belajar cara pemimpin dahulu membangunkan bangsa mereka, tidak kira pengalaman mereka yang berjaya atau yang gagal, kerana kedua-duanya mengandungi pengajaran yang tersendiri. Tidak kira pemimpin yang muslim atau pun pemimpin yang kafir, kerana terdapat di sana pengajaran yang amat berharga.

Bagaimanapun, sejarah Rasulullah S.A.W. sudah tentu menjadi satu subjek yang paling menarik untuk dipelajari. Pertama, kerana baginda adalah junjungan besar Nabi kita. Kedua, kerana sejarah baginda adalah sejarah kita jua sebagai umat Islam yang beriman dengan baginda S.A.W. Ketiga, kerana sejarah baginda dikira sebagai sejarah pembangunan sebuah bangsa yang terunggul dalam sejarah umat manusia secara keseluruhannya.

Perkara kedua yang perlu kita perhati, pelajari, teliti dan amati ialah realiti yang ada. Pandangan kita terhadap permasalahan umat perlu kepada satu dimensi yang menyeluruh, tidak terhad pada satu-satu sudut semata-mata. Bukan sekadar isu politik, ekonomi, gejala sosial, pendidikan atau akidah sahaja. Sebaliknya ia merupakan timbunan isu yang saling tali menali antara satu sama lain.

Realiti umat Islam juga perlu diteropong pada peringkat global dan memahami hubung kait antara permasalahan tempatan, serantau dan antarabangsa merupakan satu kemahiran yang wajib dimiliki untuk kita mempunyai satu pandangan yang menyeluruh, seimbang dan betul. Kemudian, pandangan dari pelbagai sisi itu pula perlu disokong dengan fakta-fakta yang benar. Rasional fakta dan angka tidak mudah diketepikan oleh semangat, emosi dan dorongan perasaan.

Untuk mengeluarkan bangsa kita daripada kemelut isu-isu kini yang tidak berpenghujung, seterusnya meningkatkan keupayaan umat ini ke tahap mampu menjadi pemimpin dan teladan kepada bangsa-bangsa lain, di peringkat nasional dan antarabangsa, kita perlu mempunyai tasawur yang jelas mengenai perkara-perkara berikut:-

  1. Matlamat dan halatuju
  2. Kekuatan jiwa
  3. Generasi muda
  4. Generasi pemimpin
  5. Jati diri dan identiti
  6. Kerangka pemikiran
  7. Wanita dan institusi keluarga
  8. Pendidikan

Mungkin ada lagi perkara-perkara lain yang tidak tersenarai. Bagaimanapun, saya percaya bahawa perbincangan mengenai senarai di atas sudah memadai untuk memberikan gambaran kasar tentang ramuan asas yang diperlukan dalam projek membina sebuah bangsa yang diimpikan.